Giant Malaysia rekod 120,000 transaksi kad debit


SUBANG JAYA 12 Ogos – GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., (GCH Retail) pemilik pasar raya Giant di Malaysia berjaya merekodkan sebanyak 120,000 transaksi melalui kad debit dalam tempoh tiga bulan sepanjang kempen Go Cashless atau ‘Bayar Tanpa Tunai’ yang dijalankan pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengurus Besar Pemasaran GCH Retail, Norine Erica Majaman berkata, jumlah itu naik hampir 100 peratus berban­ding ketika kali pertama kempen tersebut diperkenalkan tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya turut menyasarkan sebanyak 700,000 transaksi kad debit dalam kalangan pelanggannya pada tahun ini.

“Kami amat menggalakkan pelanggan menggunakan kad debit atau kad ATM ketika membeli belah, ia bukan sahaja selamat malah memberikan mereka lebih nilai bagi wang yang di­belanjakan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kempen ‘Bayar Tanpa Tunai’ di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn. Bhd. (MyClear), Peter Schiesser.

Norine Erica berkata, selain menghapuskan risiko dan kos daripada pengendalian wang tunai, urus niaga melalui kad debit turut membantu GSH Retail mengurangkan kos perniagaan.

“Kadar diskaun bagi peniaga untuk kad ATM dan debit adalah 40 peratus lebih rendah berbanding kad debit atau kad kredit berjenama antarabangsa, dan bagi pelanggan pula transaksi kad debit memberikan mereka pilihan yang mudah dan selamat untuk membeli-belah,” katanya.

Pada majlis itu seramai sembilan pemenang bertuah me­nerima hadiah menarik seperti baucar AirAsia Travel manakala pemenang hadiah utama, Naziah Mohd. Yusuff berjaya membawa pulang sebuah Proton Exora 1.6 Standard bernilai RM56,500.

Sementara itu, Schiesser berkata, penggunaan kad debit dijangka terus meningkat hasil daripada inisiatif yang dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggalakkan lebih banyak premis perniagaan mengguna pakai cara pembayaran tersebut.

“Giant merupakan pasar raya pertama yang memperkenalkan kaedah pembayaran menggunakan kad debit dan kini kita dapat saksikan lebih banyak pusat beli belah menerima kaedah pembayaran melalui kad ATM dan kad debit bagi kemudahan pelanggan,” katanya.


Source : Utusan Online / 13 August 2015