Bazar Ramadan Tanpa Tunai Anjuran PayNet dan Rakan-rakan Strategik Kembali Lagi!
Berbelanja di Bulan Puasa dengan Selamat, Mudah dan Pantas
 
 KUALA LUMPUR, 3 Mac 2025 – Bersempena dengan bulan Ramadan tahun ini, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) sekali lagi membawakan kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai, selari dengan usaha berterusan untuk memartabatkan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) sebagai kaedah pembayaran pilihan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan masyarakat pengguna.
Kempen tahunan ini, yang dianjurkan dengan kerjasama rakan-rakan strategik pembayaran digital seperti Bank Muamalat, Maybank, Agrobank, Bank Islam dan RHB Bank, dilaksanakan di beberapa buah lokasi di seluruh negara bermula 1 Ramadan.
Bazar Ramadan tahun ini terus menyemarakkan pengalaman pengunjung membeli juadah berbuka puasa dengan selamat, mudah, dan pantas melalui penggunaan kaedah pembayaran digital yang cekap dan meluas.
Menurut Encik Azrul Fakhzan Mainor, Pengarah Kanan, Bahagian Komersil, PayNet, Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 merupakan kesinambungan usaha untuk menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital dalam kehidupan seharian serta mencetus perubahan dalam perilaku perbelanjaan masyarakat.
Kata beliau, “Sebagai pengendali sistem pembayaran nasional dengan visi memperkasa ekonomi digital negara, PayNet sekali lagi menganjurkan kempen Bazar Ramadan Tanpa Tunai bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang manfaat nirtunai. Ia merupakan pemangkin kepada pertumbuhan serta penerimaan pembayaran digital yang lebih meluas, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi ke arah kemakmuran bersama.”
Kempen ini turut menjadi platform untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai sambil meningkatkan literasi kewangan digital dalam kalangan PMKS, bagi membolehkan mereka meneroka peluang perniagaan yang lebih luas di luar bulan Ramadan.
Pada tahun ini, Bazar Ramadan Tanpa Tunai berada di lokasi-lokasi menarik di seluruh negara. Antaranya termasuk: -
| Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 | |
|---|---|
| Negeri | Lokasi | 
| Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur | 
 | 
| Wilayah Persekutuan Putrajaya | 
 | 
| Selangor | 
 | 
| Johor | 
 | 
| Kelantan | 
 | 
Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025 ini turut diperluaskan ke beberapa lokasi lain di Kedah, Pahang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan, dengan senarai penuh boleh didapati di laman web dan media sosial PayNet.
Bagi tahun ini, sebanyak 6,482 PMKS mengambil bahagian dan PayNet menganggarkan hampir 3.2 juta urus niaga DuitNow QR di sepanjang kempen ini.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan serta kerjasama rakan-rakan strategik dalam menjayakan kempen pada tahun ini. Aspirasi kami adalah agar penerimaan kaedah pembayaran digital dipertingkatkan lagi, seiring dengan kemajuan landskap kewangan digital,” tambah Azrul lagi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Bazar Ramadan Tanpa Tunai 2025, sila layari www.paynet.my atau laman media sosial PayNet.
Mengenai PayNet
Payments Network Malaysia (PayNet) ialah rangkaian pembayaran nasional Malaysia dengan misi untuk mempercepatkan aliran pembayaran negara dengan menjadikan infrastruktur pembayaran digital lebih mudah diakses, meluas, dan selamat. Rangkaian pembayaran runcit kami yang komprehensif—termasuk DuitNow (QR dan Transfer), JomPAY (Pembayaran Bil), FPX (Atas Talian), MyDebit (Debit Domestik), MEPS dan IBG (Interbank GIRO)—menyediakan liputan yang meluas di seluruh negara, membentuk sebahagian daripada teras kehidupan harian di Malaysia.
Selain itu, rangkaian pembayaran runcit QR masa nyata PayNet, DuitNow, boleh beroperasi secara bersama dengan skim domestik di Singapura, Thailand, dan Indonesia, memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar dengan negara-negara ini. PayNet komited untuk mempromosikan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap, dan inovatif di Malaysia serta bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sentiasa berkembang. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.paynet.my.
